Jika anda sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang, mungkin anda masih keliru atau tertanya-tanya – adakah dia pasangan hidup anda yang sebenar? Macam mana nak tahu dia jodoh kita? Jangan risau, jom tengok 15 petanda yang dia itu jodoh kita.

Source: Baitulmuslim.com

Mana tahu, dengan bantuan dari tip ini, anda dapat membuat salah satu keputusan yang terbesar dalam hidup anda – mendirikan rumah tangga!

1.     Anda Berasa Selesa Berada Di Sampingnya

Antara tanda dia jodoh kita boleh dilihat dari segi perasaan selesa yang kita alami. Contohnya, adakah anda selalu berasa tenang apabila bertemu dengannya? Tidak serabut kepala atau rasa tertekan.

Jika ya, ia mungkin kerana adanya keserasian, dan itu adalah salah satu resepi penting dalam kemakmuran rumah tangga!

 

2.     Dia Dapat Memahami Anda

Selalunya, jika tiada keserasian antara anda dan pasangan, dia tidak dapat memahami anda dengan baik. Dia tidak sedar anda dalam masalah ataupun tidak dapat mengesan kegembiraan atau kesedihan kita.

Namun, jika dia adalah pasangan anda yang telah ditentukan di Luh Mahfuz, sudah tentu si dia itu sangat boleh membaca minda dan gerak hati anda. Apabila murung sahaja, cepat-cepat dia mengesan dan bertanya tentangnya.

Ataupun, jika anda membuat sesuatu keputusan, dia dapat memahami dan menyokongnya.

 

3.     Dia Jujur dan Asli

Jika anda perasan, selalunya seseorang yang jujur dengan kita akan selalu menjadi dirinya sendiri. Dia tidak perlu berlakon untuk menyenangkan hati kita. Jika pasangan anda ada menunjukkan sifat asli ini, mungkin ia adalah tanda lelaki itu jodoh kita.

Source: Ezaniphoto.com

Jika dia selalu memberikan pandangannya demi untuk kebaikan kita, itu sifat jujur yang dicari. Malah, dia tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk. Dia bersedia untuk menjadi diri sendiri seadanya.

 

4.     Dia Sudi Membawa Kita Bertemu Ibu Bapa dan Keluarganya

Lagi satu tanda dia jodoh kita adalah tanpa berlengah, dia sudi untuk membawa kita bertemu dengan ibu, bapa dan adik beradiknya yang lain. Bagi dirinya, tidak ada apa yang perlu disorokkan.

Kalau seseorang itu hanya mahu bermain-main dengan kita, sudah tentu dia akan berdalih untuk membawa kita berjumpa ahli keluarganya.

Iyalah, dia kan hanya mahu berseronok-seronok sahaja? Pasti belum terlintas pun dalam hatinya untuk berkahwin.

 

5.     Dia Melakukan perkara yang Menunjukkan Pengorbanan

Adakah pasangan anda selalu menunjukkan sifat membantu atau sanggup berkorban untuk anda? Jika anda memberitahunya pada tengah malam yang anda lapar, adakah dia sanggup untuk membeli dan menghantar makanan ke rumah?

Jika dia sanggup dan sering melakukan perkara yang menyentuh hati, sudah terbukti ada rasa sayang dan ikhlas dalam hatinya untuk anda – itulah tanda jodoh!

 

6.     Anda boleh Meluahkan Masalah Tanpa Rasa Dihakimi

Percaya atau tidak, ada sesetengah orang mampu untuk membuatkan kita berasa teragak-agak untuk berkongsi masalah dengannya. Namun, jika anda tidak berasa sebegitu dengan pasangan anda, ia adalah satu petunjuk yang bagus.

Source: Kahwin-khronicles.blogspot.my

Apabila anda berkongsi masalah dengan pasangan dan dia selalu memberikan pandangan yang membantu, ia menunjukkan sisi matangnya.

Dia pasti tidak mudah untuk menghakimi dan membuatkan anda rasa lebih teruk!

 

7.     Dia Menunjukkan Rasa Hormat Pada Anda serta Ibu Bapa

Tiada yang lebih teruk daripada seseorang yang tidak tahu erti hormat. Jika si dia itu selalu berlaku kasar kepada anda, mungkin itu adalah isyarat yang menunjukkan anda patut melupakannya.

Seseorang yang benar-benar petanda jodoh kita akan selalu menyayangi dan menghormati kita – dari segi percakapan dan perbuatan.

Malah, jika dia benar-benar menyayangi anda, dia juga akan turut menghormati ibu bapa anda, kan? Yelah, mereka kan insan yang banyak berjasa dalam hidup anda!

 

8.     Gaduh yang Tidak Berpanjangan

Sudah pasti, dalam setiap perhubungan, ada pasang surutnya. Pergaduhan pasti akan berlaku. Anda mungkin berasa marah atau dia mungkin berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.

Source:Faisalrahim.com

Namun, yang paling penting, adakah terdapat tolak ansur di dalam hubungan terbabit? Macam mana hendak tahu?

Begini, jika anda perasan yang si dia itu sifatnya susah marah dan cepat sejuk, maka dia sememangnya calon yang sesuai dan yang anda tunggu-tunggu selama ini – ia jodoh dari Allah.

 

9.     Dia Mengambil Berat Akan Anda

Ya, ada sesetengah orang mungkin menyayangi anda, namun adakah dia mengambil berat tentang anda? Contohnya, walaupun dibebani dengan urusan kerja, adakah dia masih mengambil tahu akan hari-hari anda?

Jika seseorang itu memang jodoh kita, selalunya akan terpancar rasa tanggungjawab dan ambil berat itu.

Dia akan selalu bertanya khabar, ingin tahu keadaan semasa anda, dan sudi meluangkan masa dengan anda – dan bukannya terperuk di rumah atau pejabat sahaja.

 

10. Rasa Percaya yang Kuat

Lagi satu tanda dia jodoh kita adalah ada rasa percaya yang kuat antara anda dan dirinya. Sifat boleh dipercayai dan mempercayai ini adalah penting dalam membina hubungan yang kukuh dan berpanjangan.

Source: Pinterest.com

Contohnya, jika dia bercuti atau bekerja ke luar negeri, adakah anda boleh mempercayainya 100% atau ada rasa ragu-ragu dalam diri?

Jika anda selalu tertanya-tanya adakah dia curang di belakang anda, itu adalah tanda yang belum ada rasa percaya yang kuat, dan itu boleh menjadi isyarat yang kurang baik.

 

11. Rasa Rindu yang Menebal Apabila Lama tidak Berjumpa

Kita semua tahu yang rasa sayang dan rindu itu adalah perkara yang tidak boleh dipaksa-paksa.

Ia adalah satu perasaan jauh di lubuk sanubari dan hanya terjadi kepada orang-orang yang istimewa dalam hidup kita sahaja.

Jika dia itu selalu menghantar mesej bertanya khabar (tanpa perlu memberikan kata-kata sweet yang melampau) atau selalu ingin ber”face-time” dengan anda, itu mungkin kerana rasa sayang dan rindu yang ada dalam dirinya! Ia juga boleh jadi tanda jodoh kita.

 

12. Perhubungan Terjadi Tanpa Dipaksa

Pasti ramai pasangan yang telah berkahwin akan bersetuju dengan petanda yang seterusnya ini (malah saya sendiri juga mengalaminya): perhubungan antara anda dan pasangan terjadi secara sendiri, tanpa perlu dipaksa.

Source: Ratutakcantik.blogspot.my

Selalu kita dengar bahawa seseorang itu baru sahaja berkenalan dengan lelaki atau wanita berkenaan dan beberapa bulan kemudian, mereka terus berkahwin. Ia memang boleh terjadi – ini tanda jodoh dari Allah!

Jika anda perasan yang hubungan anda dan pasangan berlaku secara sendiri atau rasa sayang itu hadir tanpa dibuat-buat, maka mungkin ini adalah tanda seseorang itu jodoh kita!

 

13. Kegembiraan Anda adalah Kegembiraan Dirinya

Apabila anda dan pasangan sudah tiba di satu fasa perhubungan yang stabil dan kukuh, kegembiraan anda selalunya adalah kegembiraan juga buat dirinya.

Contohnya, jika anda naik pangkat, dia tanpa teragak-agak mahu meraikannya. Dia akan mengajak anda makan malam istimewa sebagai tanda bersyukur terhadap kejayaan anda.

 Ataupun, jika anda berjaya melakukan sesuatu (walaupun ia remeh-temeh seperti berjaya membuat kek), dia pasti akan memberikan kata-kata pujian dengan senyum lebar!

 

14. Anda Tidak Segan untuk Menunjukkan Kelemahan Anda

Kadangkala, kita juga ingin menunjukkan kelemahan kita kepada pasangan untuk menguji dirinya.

Contohnya, anda menangis teresak-esak apabila kucing anda mati atau anda mengalami masalah di pejabat dan mula menunjukkan rasa sedih.

Source: Aisyahhumaira.com

Jika dia benar-benar menyayangi, pasti dia akan mententeramkan anda ketika di saat-saat yang lemah!

Kerana apa? Kerana dia menerima diri anda seadanya, tanpa mengharap atau ingin mengubah sifat semulajadi anda, iaitu mudah sedih! Itu juga boleh menjadi tanda dia jodoh kita dari Allah.

 

15. Kata Hati Selepas Solat Istikharah

Lagi satu isyarat dari Tuhan yang si dia itu adalah pasangan hidup anda adalah anda mempunyai rasa yang baik dan tenang selepas melakukan solat istikharah. Ia adalah solat memohon petunjuk dari Allah, sama ada si dia itu benar-benar jodoh kita.

Anda tidak berasa gelisah. Sebaliknya, berasa yakin dan optimistik akan masa depan anda bersama.

Malah, jika segala proses perkenalan dan persiapan perkahwinan itu berjalan lancar dan mudah sahaja, itu juga menjadi petanda yang kukuh. Dia itu adalah jodoh yang ditetapkan oleh Tuhan untuk kita!

Jika anda dapat melihat 15 tanda dia jodoh kita, maka tidak perlu berlengah lagi. Mulakan langkah ke alam perkahwinan dan jadikan perkenalan itu berubah menjadi satu perhubungan yang halal dan bahagia!

Comments

Leave a Reply